"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Berat Mata Yang Memandang.

Assalamualaikum.

Apa yang saya nak kongsikan malam ini bukan cerita yang menyeronokkan. Beberapa kejadian berlaku sehari dua ini, buat saya rasa sedih. Dan saya orangnya cepat empati, jadi terasa bebannya bila berlaku kejadian-kejadian tak diingini walaupun bukan ke atas diri sendiri.

Balik kerja semalam, ketika sama-sama masuk ke dalam kereta bersama En. Qusyairi, beliau katakan ada kes di sekolah tempat isteri kawan kami mengajar. Seorang murid jatuh ketika bermain di tangga. Murid tersebut baru darjah dua. Terus saya terbayangkan adik kesayangan saya ketika dia darjah dua, kecil dan masih terlalu mentah. Murid tersebut meninggal dunia. Waktu kejadian, ayahnya sedang menunggu di luar pagar.

Petang tadi sengaja balik kerja lambat. Jam hampir pukul 6 petang, dapat pesanan ringkas dari Ketua Jabatan. Print screen sms tersebut seperti berikut.


Perkara pertama saya buat ialah hantar mesej kepada En. Qusyairi bertanya bagaimana kami berdua boleh membantu. Tiada cara. Kelab staf tentu akan buat kutipan sumbangan, dan kami boleh menymbang. Lebih daripada itu, tiada apa yang boleh kami bantu selain mengirim doa.

Dan selesai masak makan malam tadi, baru saja saya selesai mengaminkan doa yang En. Qusyairi baca, beliau dapat panggilan telefon daripada rakan staf. Katanya mereka perlu ke Johor Bahru malam ini juga, ada pelajar kemalangan. Keadaannya kritikal dan telah dipindahkan ke hospital besar di Johor Bahru. Ketika saya menaip ini, En. Qusyairi masih belum pulang lagi. Baru sebentar tadi beliau sampaikan khabar dari hospital. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah mendoakan keselamatan dan kesihatan pelajar kami.

Saya orangnya sangat mudah empati. Cepat beremosi walaupun bukan berkaitan dengan saya. Dengan semua kejadian yang berlaku sehari dua ini, saya agak bersedih. Membayangkan perasaan seorang ayah menjumpai anaknya terbaring tak bernyawa di bawah tangga. Perasaan kehilangan segala-galanya melihat rumah tempat berteduh sekeluarga hangus hingga ke tanah. Perasaan ibu dan bapa mengharung perjalanan ratusan kilometer untuk menemani anak yang cedera parah.

Pun begitu walau betapa beratnya mata kita yang memandang, sudah tentu berat lagi bahu mereka yang memikul. Saya doakan ketenangan dan kesejahteraan untuk mereka, semoga mereka redha dan sabar menghadapi dugaan maha berat seperti ini. Dan saya harap pembaca budiman semua sama-sama berdoa dengan saya. Untuk mereka.


Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...