"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Rahsia Kebaikan Susu Ibu.

Assalamualaikum. 

Sempena dah menjadi ibu, hari-hari pun menggali ilmu berkaitan keibubapaan. Hari ini saya nak kongsi rahsia kelebihan dan kebaikan susu ibu. Berikut adalah artikel yang ditulis oleh Professor Madya Dr. Poh Bee Koon, seorang pakar pemakanan terkemuka. Jom sama-sama kita baca bagaimana susu ibu mempengaruhi otak si manja menjadi lebih pintar.

OTAK LEBIH PINTAR DENGAN SUSU IBU: Fahami bagaimana susu ibu membantu perkembangan otak. 
Beberapa tahun pertama hayat si manja adalah jangka waktu paling intensif dalam perkembangan otaknya. Perkembangan otak sangat penting untuk pertumbuhan kognitif, sosial dan emosi si manja. Ini penting kepada kelangsungan hidupnya. 
Terdapat banyak cara ibu bapa boleh menyokong perkembangan ini. Satu daripada cara paling asas (dan penting) ialah memberikan segala nutrien yang perlu untuk perkembangan otak dan juga pertumbuhan si manja secara keseluruhannya. 
Bagaimana Otak Berfungsi 
Otak kita merangkumi banyak bahagian yang menjalankan fungsi tertentu seperti menghubungkan penglihatan, perasaan, bahasa, dan pergerakan. Dalam setiap bahagian otak, terdapat berjuta-juta neuron (sel saraf), yang menghantar mesej kepada satu sama lain melalui sinaps. Hubungan ini membolehkan pelbagai bahagian berkomunikasi dan berfungsi bersama-sama.
Susu Ibu adalah yang Terbaik! 
Kesan penyusuan ibu ke atas kepintaran kanak-kanak semakin diakui di seluruh dunia. Menurut World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), susu ibu bukan sahaja penting untuk kesihatan, tetapi juga untuk meningkatkan perkembangan otak.
Susu ibu mengandungi segala nutrien yang penting untuk perkembangan otak:
Lemak – Susu ibu mempunyai kandungan asid lemak poli tak tepu yang lebih tinggi, khususnya DHA (asid dokosaheksanoik) dan AA (asid arakidonik), yang memainkan peranan penting dalam perkembangan otak (seperti sinaptogenesis, fungsi membran, dan mungkin juga pemielinan). 
Kolesterol – Susu ibu juga mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi. Kolesterol penting untuk memudahkan pemielinan sistem saraf pusat, yang mempunyai kandungan lipid dan kolesterol tinggi. 
Taurina – Taurina adalah asid amino yang banyak terdapat dalam susu ibu dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tisu otak. Taurina juga penting untuk sintesis dan pelepasan pengutus neuro otak. Oleh sebab badan bayi sendiri tidak dapat menghasilkan taurina, adalah penting untuk memastikan si manja mendapat bekalan yang secukupnya daripada makanan yang diberikan. 
Lebih Banyak Manfaat daripada Susu Ibu
Susu ibu melindungi bayi daripada penyakit yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan menjejaskan pembelajaran dan pendengaran. 
Susu ibu memastikan interaksi lebih kerap dan mendedahkan bayi kepada bahasa, tingkah laku sosial positif, dan rangsangan penting. 
Susu ibu membolehkan perkembangan visual dan aktiviti visual lebih baik, menambah kesediaan untuk membaca dan belajar.
Gambar ihsan Google.
Selain kebaikan dan kelebihan seperti yang dinyatakan dalam artikel Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, saya suka nak berkongsi kebaikan susu ibu kepada bayi dan juga kepada ibu.

Kebaikan susu ibu kepada bayi:

  • bayi menerima nutrien yang paling lengkap dan optimum untuk tumbesaran bayi 
  • bayi lebih senang menghadam susu ibu daripada susu formula, mengurangkan sembelit kronik, kolik dan gangguan perut yang lain 
  • sistem imun bayi lebih kuat di mana bayi dilindungi daripada jangkitan, alergi, asma, obesiti, kencing manis dan lain-lain masalah kesihatan
  • tidak ada bayi alah pada susu ibu 
  • tidak mengandungi bahan-bahan kimia 
  • bayi yang lebih cerdik di mana susu ibu meningkatkan perkembangan sistem otak dan saraf dan sentiasa tersedia segar pada suhu yang bertepatan 
  • rasa susu ibu berubah mengikut apa yang ibu makan, oleh itu ia membantu memperkenalkan pelbagai rasa makanan kepada bayi melalui susu 
  • mengerat ikatan emosi antara ibu dan anak 
  • penyusuan susu ibu memainkan peranan penting dalam pembangunan rohani dan emosi bayi


Kebaikan penyusuan susu ibu kepada ibu: 

  • susu ibu adalah PERCUMA!
  • membantu pengecutan uterus serta mengurangkan risiko kanser ovari, rahim dan payudara dan membantu mengurangkan berat badan ibu kerana penyusuan susu ibu membakar kalori!!
Semoga entri ini bermanfaat. Saya harap ramai ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana memilih untuk menyusukan anak mereka dengan susu ibu.


Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...