"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Tips: Petua Memilih Breastpump.

Assalamualaikum.

Salah satu keperluan seorang ibu terutamanya ibu yang bekerja dan menyusukan anak seperti saya ialah breastpump. Saya mula mencari ilmu tentang breastpump sejak 5-7 minggu kehamilan kerana memilih breastpump bukan perkara mudah dan main-main. Saya nak kongsi beberapa kriteria yang saya ambil kira ketika memilih breastpump.

Kriteria memilih breastpump:
  • Bunyi motor
  • Berat dan saiz
  • Single atau double pumping
  • Beroperasi secara manual, bateri atau elektrik
  • Harga / nilai
Ibu-ibu boleh meyusun kriteria-kriteria ini mengikut keperluan ibu-ibu sekalian. Kriteria di atas sini saya susunkan mengikut keutamaan saya. Saya letakkan harga sebagai kriteria terakhir sebab walaupun berbelanja untuk menyambut bayi sulung sangat banyak dan ibu-ibu perlu berjimat, tapi pada saya bunyi dan saiz breastpump adalah kriteria yang sangat penting dan saya tak boleh tolak ansur. Saya akan ceritakan satu persatu.

Bunyi Motor
Bunyi motor breastpump sangat penting bagi saya. Walaupun saya ada bilik pejabat sendiri, tapi bersebelahan dengan bilik saya adalah pejabat staf-staf lelaki yang lebih senior. Ruang pejabat kami pula sangat senyap. Sebab itu saya perlukan breastpump dengan motor yang senyap. Supaya aktiviti saya mengepam susu di pejabat tak didengari dan mengganggu staf lain. Lagipun bagi saya mengepam susu adalah perkara yang sulit dan melibatkan kehormatan diri. Lebih baik jika dilakukan secara senyap dan tak diketahui.

Berat dan Saiz Pam
Encik Qusyairi dan saya sangat gemar bercuti. Kami banyak bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Sebab itu saya perlukan pam yang kecil dan ringan supaya mudah dibawa ke mana-mana. Lagipun dengan pam yang kecil dan ringan, saya boleh jimatkan ruang dalam beg galas untuk di isi dengan storage bag, pen, cooling bag etc.

Single atau Double Pumping
Juga penting bagi ibu bekerja seperti saya sebab tak banyak masa mengepam di pejabat. Jika saya perlukan 10 minit untuk mengepam susu di setiap payu dara, jumlah masa mengepam akan menjadi 20 minit bagi setiap sesi. Sepanjang 8 jam di pejabat, saya perlu mengepam sebanyak 3 sesi, iaitu berjumlah 1 jam masa bekerja dihabiskan untuk mengepam. Jika saya buat double pumping, setiap sesi cuma 10 minit, dan jumlah masa mengepam di pejabat setiap hari ialah 30 minit saja.

Operasi Manual, Bateri atau Elektrik
Saya perlukan pam yang boleh beroperasi secara bateri dan elektrik. Sebabnya kami selalu berjalan jauh. Ketika dalam perjalanan susah nak dapatkan sumber elektrik. Sebab itu saya perlukan pam elektrik yang boleh beroperasi dengan bateri.

Harga / Nilai
Seberapa boleh tentu kita semua mahukan pam dengan harga terendah. Tapi disebabkan saya cerewet mahukan pam yang ringan dan senyap, memang tak banyak pilihan yang ada. Dan semuanya harganya hampir mencecah RM1000. Membeli pam penyusuan adalah satu pelaburan (dan pengorbanan) ibu untuk anak. Biar berhabis sekali, tapi hasilnya memuaskan hati.

Pilihan Saya:
Setelah saya survey di kedai dan internet, pilihan yang memenuhi keperluan saya tak banyak. Akhirnya saya pilih Ameda Lactaline sebab saiznya kecil, ringan, motor yang senyap, boleh single dan double pumping dan harganya lebih murah berbanding Medela. Saya beli di kedai online sebab harga yang lebih murah berbanding kedai luar, pakej yang ditawarkan juga sangat menjimatkan. Keseluruhan pakej breastpump ini yang saya beli termasuk beberapa add-ons bernilai lebih kurang RM1200.

Ameda Lactaline Personal
Seminggu lepas bayi Kautsar lahir saya mula menggunakan pam Ameda Lactaline tersebut. Sejak pertama kali mencuba, saya dapat kesan beberapa masalah. Pertama, banyak yang perlu dilakukan untuk set up pam sebelum mengepam. Kedua, payudara kiri dan kanan seseorang tak semestinya sama. Kedua-duanya mungkin perlukan rangsangan berbeza untuk mengeluarkan susu. Maka bila saya buat double pumping, hasilnya tak seberapa. Bila buat single pumping, masa pula lama. Penyelesaiannya saya bertukar kepada pam manual.

Saya beli pam manual Avent Natural Series ketika bayi Kautsar hampir 2 bulan. Pertama kali gunakan pam manual Avent ni saya sangat gembira sebab lebih mudah untuk kawal speed dan suction. Hasilnya lebih cepat mengalami letdown reflex. Setiap kali sesi mengepam saya mengalami letdown reflex berganda berbanding menggunakan pam elektrik Ameda Lactaline. Selain itu saya sangat suka pam manual Avent juga sebab sangat mudah dikendalikan. Masa menggunakan Ameda, saya cuma mengepam sekali sehari kerana bayi Kautsar menyusu badan di rumah. Lagipun saya rasa leceh nak set up pam Ameda ketika bayi menyusu. Dengan pam manual Avent, lebih mudah mengepam sambil menyusukan anak. Saya pun jadi lebih rajin untuk mengepam. Hasil daripada kerap mengepam, susu badan pun jadi semakin banyak. Pam Avent manual ini saya beli dengan harga RM200 di kedai online, berbanding kedai luar harganya RM300.

Avent Natural

Mungkin ramai ibu-ibu lain pernah alami perkara yang sama. Membeli breastpump bukan mudah. Ibu-ibu perlu banyak membaca dan membandingkan pilihan-pilihan yang ada. Jika mampu, cuba dulu breastpump sebelum membeli. Atau jika mahu beli breastpump selepas bayi lahir supaya dapat memilih breastpump yang paling selesa dan berkesan. Bagaimanapun cuba untuk tidak menetapkan bajet terlalu ketat, kerana breastpump yang mahal semuanya mahal bersebab. Anggaplah breastpump ini pelaburan untuk kesihatan anda dan bayi anda.

Selamat menyusukan anak :)



Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...