"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Apakah Penyakit Endometriosis?

Assalamualaikum.

Penyakit endometriosis merupakan satu jenis penyakit yang agak luar biasa. Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang makin ramai wanita yang menghidapinya. Antara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan , kemandulan dan keguguran yang mungkin berulang-kali. Ia juga boleh menyebabkan berbagai jenis masalah seperti pendarahan, gangguan kencing, kesakitan dan lain-lain.

Sumber daripada FB Dr Hamd Arshat

Apakah sebenarnya penyakit Endometriosis?

Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.


‘Chocolate cyst’ – Endometriosis dalam ovari.

Bagaimana selaput endometrium ini boleh tumbuh di luar rahim? Biasanya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), saluran fallopian, pundi kencing, kadang-kala di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan untuk tujuan lain.  Endometrium ini juga boleh tumbuh pada dinding /otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis.

Bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus). Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang menghidap penyakit endometriosis.

Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku. Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku dikalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi IQ.

Ada juga yang mengatakan bahawa sistem ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu-tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah.

Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat.


Apakah tanda-tanda atau gangguan? 

Tanda yang paling utama sekali di kalangan wanita ialah senggugut ataupun kesakitan pada bawah perut dan pinggang. Senggugut ini mungkin dialami dari sejak remaja lagi dan ia berterusan dan mungkin tidak reda walaupun selepas kahwin.Ada setengahnya lega sekejap lepas berkahwin dan melahirkan anak tetapi senggugut ini akan timbul balik akibat daripada penyakit endometriosis. Kesakitan yang dialami biasanya berlaku sebelum datangnya haid yang biasanya berbentuk kesakitan yang amat kuat pada bahagian ari-ari dan sering juga ke bahagian pinggang.

Biasanya sakit akan hanya reda selepas dua atau tiga hari sahaja, tetapi jika keadaan di mana endometriosis ini telah merebak, kesakitan ini mungkin akan berterusan waktu haid dan walaupun haid sudah berhenti kadang-kala kesakitan masih ada lagi. Ini menunjukkan bahawa penyakit ini berada di peringkat teruk dan mungkin telah melibatkan dinding/otot rahim.

Kesakitan juga dialami ketika melakukan persetubuhan khususnya jika suaminya menekan agak kuat sedikit dan kesakitan juga mungkin dialami waktu membuang air besar khususnya pada waktu haid. Ini disebabkan oleh perdarahan yang berlaku dibelakang rahim yang mungkin melibatkan usus besar.

Gangguan lain ialah ketidaksuburan dan kemandulan.   Ini adalah masalah besar di kalangan pengidap-pengidap penyakit endometriosis. Mereka tidak sedar yang penyakit ini mungkin telah timbul, yang mereka tahu ialah mereka sukar untuk mengandung, samada buat kali pertama ataupun selepas melahirkan seorang anak ia tidak dapat hamil lagi beberapa tahun kemudian.


Bagaimana pengidap endometriosis ini boleh jadi mandul? 

Sebenarnya ada beberapa penjelasan. Di antaranya penyakit ini boleh merosakkan kilang telur menyebabkan ia tidak boleh keluar benih. Kedua mungkin menyebabkan kerosakan pada saluran fallopian menyebabkan benih lelaki tidak boleh masuk untuk bertemu dengan telor. Ketiga mungkin endometriosis ini juga mengeluarkan beberapa jenis racun yang mungkin mematikan benih dan telur atau embrio. Seterusnya endometriosis mungkin menimbulkan gangguan-gangguan hormon yang biasanya mengawal kesuburan wanita. Tetapi dikalangan pengidap endometriosis ada juga yang boleh hamil walaupun tanpa diberi rawatan.

Keguguran

Endometriosis juga boleh menyebabkan kehamilan gugur di peringkat awal. Bagaimana ia menyebabkannya kita tidak tahu, tetapi ada kemungkinan endometriosis menyebabkan gangguan dalam hormon wanita ataupun ia menimbulkan keadaan beracun yang boleh membunuh atau menganggu pertumbuhan janin. Kadang-kala wanita yang mengidap penyakit endometriosis boleh gugur berulang-kali.

Lain lain tanda atau gangguan akibat dari penyakit endometriosis termasuklah berbagai jenis kesakitan di bahagian perut, dibawah perut atau di bahagian pinggang serta juga berbagai masalah perdarahan samada waktu haid atau di luar waktu haid seperti haid yang banyak atau yang berpanjangan. Kadang-kadang berlaku perdarahan di luar waktu haid.  


Pengesahan penyakit endometriosis. 

Daripada tanda-tanda tersebut kita sering mengesyaki pengidap penyakit endometriosis dan ini dapat disahkan melalui beberapa pemeriksaan serta ujian. Apa yang biasa dilakukan yang mempunyai tanda-tanda ialah pemeriksaan kemaluan dan dari situ doktor dapat mengesan kedudukan rahim mungkin jatuh ke belakang (retroverted) dan bila disentuh bahagian belakang rahim ia akan merasa kesakitan. Ujian ultrasound melalui faraj (vaginal sonography) adalah sangat penting kerana ia boleh mengesan tumbuhan cyst pada bahagian kilang telur.


Rawatan penyakit endometriosis 

Oleh kerana kebanyakan daripada mereka yang bertemu doktor mengalami ketidaksuburan ataupun berulangkali gugur yang mungkin disertai oleh senggugut, mereka memerlukan rawatan yang sewajarnya. Yang penting sekali tujuan rawatan ialah untuk wanita tersebut hamil, kerana keadaan hamil boleh mengawal pertumbuhan atau menghapuskan sama sekali penyakit endometriosis ini.


Pembedahan untuk membuang endometriosis 

Jika terdapat ‘chocolate cyst’ ataupun keadaan rahim yang terbalik (retroverted) pembedahan akan dilakukan. Biasanya doktor pakar mencadangkan pembedahan secara laparoscopy disertai dengan pembedahan kecil pada bahagian bawah perut dengan irisan lebih kurang dua atau tiga inci untuk membuang tumbuhan cyst serta untuk membersihkan dan membuat cautery atau tembakan pancaran laser pada bahagian-bahagian yang terkena tumbuhan endometriosis.

Pembedahan ini juga membolehkan doktor membetulkan rahim dengan menjahit rahim ke otot perut di bahagian hadapan (ventro-suspension of the uterus). Setelah ini dilakukan, bahagian peranakan serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan keracunan yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika terdapat kesumbatan pada saluran fallopian ketika pembedahan, keadaan ini juga boleh diperbetulkan sekali.

Selain daripada secara pembedahan, rawatan dengan ubat-ubat sering juga dilakukan. Di pasaran terdapat banyak ubat-ubat hormon yang digunakan di antaranya hormon-hormon Progesterone yang mana diantara jenamanya ialah Primulut, Norculut atau lainnya yang digunakan selama enam hingga sembilan bulan dengan tujuan untuk menghentikan haid. Juga terdapat ubat-ubat seperti Danazol yang mana tujuannya adalah sama iaitu untuk menghentikan haid dan mengurangkan tumbuhan endometriosis ini.

Dalam beberapa tahun yang lepas ubat-ubat terbaru yang diberikan secara suntikan sebulan sekali dan terdapat berbagai jenama seperti Zoladex dan lain-lain untuk digunakan selama enam hingga sembilan. Suntikan-suntikan tersebut  agak mahal sedikit dan ia memberi kesan sampingan seperti yang dialami oleh wanita yang sedang putus haid manakala kesan sampingan yang lain seperti apabila memakan pil Danazol ialah perubahan-perubahan yang menimbulkan sifat kelelakian seperti tumbuh rambut dan suara menjadi kasar. Peningkatan timbang berat juga merupakan satu kesan sampingan. Saya sekarang ini kurang menggunakan ubat-ubat untuk merawat pesakit-pesakit endometriosis khususnya mereka yang mempunyai masalah kemandulan atau keguguran yang berulangkali. Saya lebih suka melakukan pembedahan untuk membetulkan kedudukan rahim dan juga melakukan lain-lain pembetulan dan pembersihan di dalam dan persekitaran rahim kerana hasil dari segi mendapatkan kehamilan berlaku dengan lebih kerap dan cepat lagi. Apabila wanita itu hamil, Insya Allah penyakit endometriosis ini terkawal dan jarang berulang lagi.


Bolehkah penyakit berulang? 

Penyakit endometriosis adalah sejenis penyakit yang tidak diketahui apa puncanya dan ia sering berterusan tumbuh serta merosakkan peranakan dan usus. Kerosakan ini boleh menyebabkan seorang wanita terus mandul, atau mengalami kesakitan yang amat teruk. Pada kebiasaanya jika wanita itu hamil dalam masa setahun lepas pembedahan, kemungkinan ia berulang agak kecil. Tetapi jika tidak hamil lepas dua tahun, kemungkinan berulang adalah besar.

Selain dari kehamilan, kita tidak mengetahui dengan tepat kaedah mencegah penyakit endometriosis dari berulang.

Tetapi amalan mengawal makanan, iaitu dengan menjauhkan makanan yang menyebabkan alahan seperti beberapa jenis makanan laut, daging lembu atau kambing. Banyakkan sayuran dan protin dari ikan dan kacang soya. Latih diri untuk tenang fikiran dan gangguan emosi. Gunakan berbagai kaedah untuk menangkis stress.


Pembedahan buang rahim (hysterectomy) 

Pembedahan untuk membuang rahim dan ovari juga satu rawatan yang akhir bagi mereka mengalami penyakit endometriosis yang teruk sekali dan semua organ seperti rahim dan kilang telur telah rosak. Ia mungkin tidak berfungsi lagi dari segi kesuburan dan daya upaya untuk hamil. Di samping itu ia menyebabkan masalah kesakitan yang amat sangat setiap bulan ataupun secara berterusan dan mengganggu kerja harian. Ia mungkin juga menimbulkan gangguan haid yang tidak terkawal yang mengganggu kehidupan seharian, hubungan suami isteri dan juga mengganggu wanita-wanita kita untuk membuat amal ibadah.

Jika keadaan demikian berlaku, tidak ada pilihan lain melainkan melakukan pembedahan besar iaitu untuk membuang rahim serta kilang telur. Pilihan ini biasanya kita tangguhkan sehingga wanita itu sampai ke umor 40 lebih tetapi dalam keadaan yang luar biasa dimana penyakit itu sangat teruk, kita juga melakukan pembedahan ini diperingkat tiga puluhan tahun.


Rumusan 

Penyakit endometriosis ini ialah satu penyakit yang aneh di mana banyak perkara yang tidak ketahui tetapi ia menimbulkan berbagai-bagai masalah pada wanita. Kita tidak tahu mengapa darah kotor berkumpul di belakang rahim dan di kilang telur. Ada setengah pakar-pakar perubatan Islam yang beranggapan bahawa darah ini adalah makanan jin dan mungkinkah ada kaitan orang halus ini mengganggu peranakan seseorang wanita dan mengganggu agar ia tidak boleh mempunyai zuriat. Oleh itu kaedah-kaedah rawatan alternatif juga perlu dilakukan serentak dengan cara cara moden, kaedah perubatan Islam, kaedah ubat ubat tradisional selagi cara-cara tradisional ini tidak menyebabkan syirik ia boleh diamalkan. Mungkin terdapat ubat-ubat herbal yang belum dikenalpasti lagi yang mungkin masih ada di hutan kita yang berpotensi untuk merawat penyakit endometrosis dan memulihkan keadaan subur seperti biasa.

[Sumber]


ID 921922
Batu Pahat, Johor
012-7807365
noraihanqusyairi@gmail.com
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...