"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Sejarah Penyusuan Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum.

Artikel asal saya ambil dari page Ohibu.

Penyusuan susu ibu bukan perkara baru.  Ia telah wujud sejak zaman jahiliyyah lagi.  Cuma di Malaysia ini tiba-tiba kesedaran tentang penyusuan sudah meningkat beberapa tahun yang lepas.  Bagaimana sejarah penyusuan bermula?

Apa yang saya ingin bawakan adalah mengenai sejarah penyusuan, dan saya ingin bandingkan dengan sejarah penyusuan yang pernah dicatatkan dalam sejarah Islam. Nyata, model yang paling hampir adalah Nabi kita Muhammad S.A.W.

Dicatatkan oleh Emily E Stevens dalam artikelnya yang bertajuk A History Of Infant Feeding, sejarah penyusuan susu formula bermula daripada rentetan masalah penyusuan yang membawa kepada wujudnya ibu susuan atau disebut sebagai wet nursing. Konsepnya sama. Daripada penceritaan Emily E.Stevens, wet nursing wujud apabila ibu kandung mempunyai masalah untuk menyusukan anaknya, lalu diupah seorang ibu untuk memberikan susu, sementelah tiada lagi alternatif yang lebih baik daripada itu pada waktu itu. Susu ibu, terjamin sebagai susu terbaik.

Apabila dibandingkan dengan sejarah penyusuan Islam, modelnya sudah tentu Nabi Muhammad S.A.W.  Kehadiran ibu susuan adalah lebih kepada adat pada waktu itu. Namun, apa yang mutlak, segala kejadian bersebab dan Rasul junjungan kita terpelihara. Apa yang berlaku tidak lain tidak bukan untuk dijadikan contoh untuk umat Nabi Muhammad kini.

Dikatakan adat bangsa Arab pada masa itu, bayi akan diserahkan kepada ibu susuan yang tinggal di desa dengan udara yang segar dan suasana terbaik untuk pembesaran kanak-kanak ditambah pula kemahuan ibu bapa untuk anak mereka belajar bertutur Bahasa Arab asli.   Kabilah Bani Saad merupakan kabilah yang terletak di pedalaman dan terkenal sebagai tempat yang sesuai untuk membesarkan anak.  Justeru, kabilah ini sering menjadi pilihan untuk diserahkan bayi kepada ibu susuan masing-masing.

Sememangnya akan ada ibu-ibu dari desa yang akan ke kota untuk mencari anak susuan untuk mendapatkan upah. Namun pertemuan Halimatus Saadiah dengan Nabi Muhammad S.A.W adalah dengan keizinan Allah subhanallah taala dan bukanlah kerana upah.  Pada asalnya calon-calon ibu susuan yang ada menolak untuk menerima Nabi Muhammad S.A.W untuk disusui sementelah diketahui kedudukannya sebagai anak yatim dan serba kekurangan.

Sebelum penyerahan Nabi Muhammad S.A.W kepada Halimatus Saadiah, ibunya Aminah binti Wahab menyusukan Nabi selama tiga hari dan ada yang mengatakannya seminggu. Kemudian ia disusukan pula sekejap oleh Thuwaibah, hamba Abu Lahab. Setelah itu diserahkan kepada Halimatus Saadiah dan dibawa balik ke perkampungan Bani Saad untuk disusukan. Maka, tinggallah Nabi bersama Halimatus Saadiah sehingga dua tahun.  Penerapan ciri-ciri masyarakat Bani Saad yang pintar dan petah bercakap serta  keperibadian Halimah sendiri yang berbudi bahasa dan berpekerti mulia memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan Rasulullah s.a.w.

Di samping itu, Halimatus Saadiah juga mendapat timbal balik daripada episod penyusuan Nabi Muhammad S.A.W. dengan dikurniakan rezeki melimpah ruah dan tidak tidak disangka-sangka.  Unta yang kurus kering tiba-tiba mempunyai susu untuk keperluan khasiat diri Halimatus Saadiah yang sedang menyusu Nabi Muhammad S.A.W. Tanamannya juga menjadi subur. Dek kerana inilah Halimatus Saadiah menyambung menjaga Nabi Muhammad S.A.W sehingga umurnya baginda empat tahun.

Begitulah sejarah penyusuan Islam yang mengaitkan ibu susuan dan menunjukkan betapa susu dari ibu merupakan pilihan pertama yang harus difikirkan sebagai makanan awal bayi. Dalam kisah ini bukan sahaja ditunjukkan berkenaan penyusuan bayi, malah kepentingan ibu mendapat khasiat yang elok untuk menyusukan bayi. Perkara ini masih terpakai hingga ke sekarang, walau pun dalam konteks dan suasana yang berbeza.

Semoga bermanfaat.


ID 921922 | Batu Pahat, Johor |012-7807365 | noraihanqusyairi@gmail.com
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...