"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Cara Kira Kitaran Haid dan Waktu Subur.

Assalamualaikum.

Rehan memang berminat dengan tajuk kitaran haid dan waktu subur ni. Sebelum berkahwin, memang rehan tak pernah ambil berat tentang kitaran haid apatah lagi waktu subur. Sebabnya rehan tak pernah alami masalah berkaitan haid. Kitaran haid rehan teratur, tiada senggugut atau masalah lain yang berkaitan. Malah jumlah hari haid pun konsisten.

Lepas seseorang wanita berkahwin, penting baginya untuk faham kitaran haid dan pengiraan waktu subur.

KENAPA PERLU FAHAM KITARAN HAID DAN WAKTU SUBUR?

  • Untuk mendapatkan zuriat
  • Untuk mengelakkan mendapat zuriat (kaedah merancang keluarga secara semulajadi)

Kedua-duanya sangat penting. Sebab itu mengira kitaran haid dan waktu subur adalah ilmu wajib bagi suami dan isteri.


MEMAHAMI KITARAN HAID WANITA

Secara purata kitaran haid wanita berlaku pada setiap 28-30 hari. Walaupun begitu, harus kita faham setiap wanita adalah berbeza. Oleh sebab itu, ada wanita yang mengalami kitaran haid kurang daripada 28 hari atau lebih daripada 30 hari.

Kitaran haid wanita terbahagi kepada 4 fasa. Berikut saya akan terangkan fasa-fasa tersebut.

Fasa 1: Hari 1 - 4
Fasa ini dipanggil menstruation atau hari pengeluaran haid. Ketika inilah darah haid keluar. Penting untuk wanita tandakan hari pertama haid keluar setiap bulan. Tujuannya untuk ikhtiar mendapatkan atau mengelakkan mendapat zuriat, selain untuk mengira jumlah kitaran haid.

Fasa 2: Hari 5 - 13
Fasa ini dipanggil fasa follicular. Sepanjang tempoh ini, hormon estrogen akan meningkat. Darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal sebagai persediaan untuk mengandung. Telur (ovum) yang berada di dalam ovari pula mula semakin matang.

Fasa 3: Hari 14
Ini adalah fasa berlakunya ovulasi iaitu peneluran. Peningkatan hormon Lutenizing Hormone (LH) secara mendadak dalam tubuh wanita menyebabkan telur keluar dari bekasnya untuk disenyawakan. Sekiranya terlur disenyawakan, telur akan melalui saluran tiub fallopio menuju ke rahim tempat ia menempel dan fetus terbentuk.

Fasa 4: Hari 15 - 28
Fasa ini dikenali sebagai fasa luteal atau secretory. Hormon progesteron dirembeskan daripada sarangnya (corpus luteum) selepas telur dikeluarkan daripada bekasnya. Rembesan progesteron menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Sekiranya tiada persenyawaan berlaku, rembesan progesteron semakin sikit dan akhirnya dinding rahim akan runtuh. Setelah proses ini selesai, kitaran haid akan bermula semula pada hari 1.


MENGIRA WAKTU SUBUR
Setelah anda faham kitaran haid di atas, waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada sarangnya.

Bilakah secara tepat ia berlaku? Sebenarnya ia adalah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama period seterusnya atau ketika fasa luteal bermula. Ingat ya, 14 hari daripada hari pertama haid seterusnya.

Sekiranya kitaran haid anda 28 hari, maka waktu subur anda adalah: 28 - 14 = Hari ke 14
Sekiranya kitaran haid anda 30 hari, maka waktu subur anda adalah: 30 - 14 = Hari ke 16
Sekiranya kitaran haid anda 34 hari, maka waktu subur anda adalah: 24 - 14 = Hari ke 20

Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraanya adalah biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah2. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period yang seterusnya. Sekiranya period anda adalah tetap 28 hari, tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.


CARA LAIN MENGETAHUI WAKTU SUBUR

Pada waktu subur, suhu badan wanita akan naik sedikit dalam satu darjah selsius. Anda boleh mula merekod suhu tubuh badan setiap hari dan perhatikan bacaannya. Cara yang tepat untuk merekod suhu badan ialah dengan menggunakan termometer klinikal yang beri bacaan tepat. Ukur suhu sebaik saja bangun dari tidur. Pastikan anda bangun tidur dan merekod suhu pada waktu yang konsisten. Suhu tubuh unu dipanggil Basal Temperature.


Selain mengukur suhu badan, terdapat juga lendiran cecair yang jernih daripada kemaluan. Ini adalah disebabkan hormon yang meningkat ketika itu.

Anda juga boleh menguji waktu subur dengan menggunakan kit kesuburan atau dipanggil ovulation kit yang terdapat dijual di farmasi.


MENGANGGAR WAKTU TERBAIK UNTUK MENDAPAT ZURIAT

Oleh kerana telur atau ovum tidak mempunyai jangka hayat yang panjang, iaitu dalam lingkungan 1-2 hari sahaja, maka tingkap untuk mendapatkan zuriat adalah sangat terhad. Oleh itu Allah mencipta sperma dengan kelebihan yang lain pula.

Selain daripada berjuta-juta sperma dilepaskan, ia juga boleh bertahan selama 3-5 hari. Ini bermakna, sekiranya suami isteri bersama 3 hari sebelum waktu subur, atau 2 hari selepas waktu subur, maka ada peluang untuk telur itu berjumpa dengan sperma yang hidup lebih lama.

Oleh itu, untuk mendapatkan zuriat, pasangan boleh bersama setiap malam hari pada hari ke 11, 12, 13, 14, 15, 16 period untuk mendapatkan waktu optimum hari kesuburan sekiranya haid anda datang 28 hari. Cadangan ini adalah bagi anggaran waktu subur adalah pada hari ke 14.

Anda boleh cuba setiap bulan untuk beberapa bulan sekiranya tidak berhasil. Ini adalah untuk memastikan waktu subur adalah sesuai dengan waktu bersama anda.


MENGELAKKAN MENGANDUNG MELALUI CARA KIRAAN

Selain daripada untuk mendapatkan zuriat, ada pasangan yang ingin mengelakkan mengandung dengan cara mengira kalendar. Untuk pengetahuan anda, cara mengira melalui kalendar adalah berisiko dan tidak berapa tepat. Ini adalah kerana anda mungkin boleh tersilap kira, atau kedatangan haid yang tidak beberapa teratur menyebabkan tarikh subur lari dari kebiasaan.

Oleh kerana anda tahu sperma boleh bertahan selama 5 hari di dalam rahim (ada kajian menunjukkan sperma mampu bertahan sehingga 7 hari di dalam rahim), jadi 5 hari sebelum dan selepas hari kesuburan adalah waktu yang dianggarkan tidak boleh bersama isteri ataupun terpaksa menggunakan cara kontraseptif yang lain.

Ada juga yang meletakkan 3 hari sebelum dan selepas waktu subur. Ini lebih rapat dan lebih berisiko. Terpulang kepada anda sendiri. Seperti yang saya khabarkan tadi, cara ini tidak beberapa tepat dan mempunyai risiko yang tersendiri.

Saya harap info ini boleh membantu pasangan suami isteri menganggar waktu yang terbaik untuk bersama dan waktu terbaik untuk mengelak daripada bersama.

[Sumber]
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...