"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Selamat Hari Mak.

Assalamualaikum.

8 tahun 9 hari lepas masa mak rehan sakit dan meninggalkan kami akhirnya, tak pernah mak rehan terbayang rehan hari ni di sini, dalam keadaan ini.

Mak rehan pergi dengan menyangka rehan, ketika tu menghadapi peperiksaan akhir semester kedua pengajian Sarjana Sains (Fizik), akan ikut jejak langkah mak, ayah, abang dan kakak rehan yang lain. Iaitu berkhidmat dalam bidang pengajian rehan. Sebetulnya mak rehan ketika tu fikir rehan akan jadi guru atau pensyarah fizik.

Kemudian mak rehan meninggal dunia.
Dan rehan tamatkan peperiksaan akhir semester itu berselang kenduri arwah, seterusnya satu semester dissertasi bersulam air mata. Waktu paling sukar dalam hidup rehan ketika tu, lebih setahun rehan menjauhkan diri dari kawan-kawan dan tak bercakap dengan sesiapa. Tahun itu 2009-2010. Waktu paling sukar dalam hidup rehan sebenar-benarnya.

Selama setahun tu rehan tak bekerja. Rehan cuma duduk rumah buang masa, melayan perasaan. Ayah beri rehan masa selama yang rehan perlu untuk bersedia dan bangkit semula. 

Setahun kemudian baru rehan bangkit.
Rehan cari kerja.

Mula-mula rehan kerja mengajar tuisyen seorang pelajar slow-learner dgn gaji RM400 sebulan. Lepas beberapa bulan bekerja, rehan berjaya mohon sebagai pensyarah sambilan di sebuah universiti awam. Selama 6 bulan rehan bekerja di situ sebagai pensyarah sambila dengan bayaran gaji mengikut jam kuliah dan tutorial. Alhamdulillah lepas 6 bulan bekerja, dengan sokongan Ketua Jabatan, rehan berjaya naik satu tahap iaitu menjadi pensyarah kontrak pula.

Lebih kurang 7-8 bulan bekerja, rehan berkenalan dengan then-not-yet-zauj Qusyairi. Dalam masa 5 minggu rehan decide nak kahwin dengan beliau. Bukan keputusan yang terburu-buru, tapi rehan tak suka buang masa bila dah putuskan sesuatu. Atas sebab tertentu kami hanya dapat bernikah lepas 7 bulan, tempoh waktu yang terasa sangat lama bagi rehan.

Menjelang hari perkahwinan kami, rehan terfikir dalam hati: Mak tentu tak sangka aku akan kahwin tahun ini. Sebab mak rehan tau rehan huha-huha tapi tak bercinta dengan lelaki. Ada juga kenal-kenal tapi mak tau rehan takkan bercinta kalau takkan dibawa mati. Jejaka-jejaka yang approach rehan sebelum tu, ada yang memang baik dan sesuai dijadikan suami. Tapi rehan terpaksa menolak sebab waktu tu kami masih belajar, belum masa untuk bernikah. Pada rehan kalau belum nak bernikah buat apa bercinta. Begitulah kaedahnya. Kami nikah Pada Mac 2012.

Rehan bertugas sebagai pensyarah kontrak selama 4 tahun. Kemudian rehan berhenti. Banyak sebab, banyak penyumbang kepada keputusan rehan untuk berhenti kerja. Nak diceritakan kat sini, rasanya terlalu banyak, nanti jadi drama bersiri pulak. Tapi salah satunya rehan nak cuba benda baru. Lalu rehan berhenti bekerja dan cuba meniaga. Sehinggalah hari ini, cukup 2 tahun rehan berhenti kerja. Setahun pertama rehan fokus membesarkan arfa yang lahir sebulan lepas rehan berhenti kerja. Setahun kedua rehan fokus berniaga sambil jaga arfa. Hujung tahun lepas, rehan ada rezeki sikit hantar arfa ke pengasuh, supaya arfa belajar berkawan dan rehan pun boleh berniaga waktu siangnya.

Sekali lagi hari ini, sempena hari ibu hari ni, rehan reflek diri rehan yang sekarang. Mak mesti tak sangka rehan di sini hari ini. Sebab mak rehan kenal rehan yang tomboy, yang kasar. Yang hatinya keras tak boleh diusik. Rehan yang mak kenal bukan rehan yang duduk rumah dan berkeluarga. Mak kenal rehan yang darah muda, yang jiwanya bebas,. Tak terikat dengan komitmen. Rehan buat apa yang rehan nak buat, itu saja.

Mak pasti tak sangka, rehan akan berkahwin pada umur 26 tahun. Rehan akan berkeluarga dan hari ini, beranak dua. Yang mak kenal, rehan tak suka bercinta. Taknak bercinta. Tak kisah tentang cinta. Rehan suka berkawan, dan kawan-kawan rehan perempuan semuanya. Ada kawan lelaki, tapi mak tau mereka sekadar kawan, takkan lebih dari itu.

Mak tentu bangga bila rehan berjaya dapat pekerjaan baik, jadi pendidik. Tapi saat rehan nak berhenti kerja, ada rehan terfikir: kalau mak masih ada, apa agaknya mak akan kata? Sebetulnya rehan tak fikir mak akan marah. Mak mungkin akan tanya betul ke rehan dah fikir habis baik. Itu saja. Mak ayah rehan bukan ibu bapa yang campur tangan dalam urusan anak-anaknya. Waktu kakak rehan menganggur setahun lepas graduasi, mak ayah cuma terlibat hantar dia interview merata tempat, ke Melaka, Perak, Kelantan. Tak pernah mak ayah cuba-cuba cari cable untuk tawarkan kerja kepada kakak rehan. Sedangkan kalau nak difikirkan besar juga cable yang mak ayah rehan ada: keluarga terdekat kami ketika itu ada yang menjawat jawatan besar.

Keputusan besar untuk berhenti kerja, rehan rasa mak akan terima saja walaupun mungkin ada sedikit ralat dalam hatinya. Keputusan rehan berniaga pula mesti mak suka. Dulu waktu kami kecil, mak selalu bawa kami ke Kelantan, Terengganu ketika cuti sekolah. Sambil bercuti, mak beli kain sutera untuk dijual bila balik ke Batu Pahat. Mungkin dari sini mengalir darah bisnes dalam diri rehan.

Dan hari ini kalau mak masih ada, tentu rehan jadi orang paling rapat dengan mak, sebab rehan seorang saja yang masih ada di Batu Pahat. Kalau mak taknak pindah ke rumah rehan sekalipun, tentu mak selalu berkunjung ke sini, sambil tengok baju-baju yang rehan jual (sebab mak suka baju!). Rehan rasa, rehan buat perkara betul dalam hidup walaupun nampak salah di mata orang lain. Yang penting rehan bahagia. Itu yang mak akan fikirkan, adakah anak dia bahagia.

Sempena hari ibu hari ni, rehan tak ada apa ucapan pun untuk mak. Sebab mak pun dah tak ada. Tak perlu pun rehan kongsi di sini apa yang rehan rasa, yang rehan mau katakan pada mak sekiranya mak masih ada. Sebab perkara tu terlalu peribadi rasanya.

Tak ada juga gambar mak untuk rehan kongsi kat sini. Cukuplah rehan simpan dalam hati *hugs*
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...